
Masa itu kehidupan, kerana ia berkait dengan apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan. Lebih-lebih lagi di akhirat nanti, setiap kita tidak terkecuali akan dipersoalkan setiap saat umur kita di dunia.
Oleh itu, sebagai ibu bapa perlu ada perancangan dan latihan tentang membentuk anak-anak supaya menghargai masa. Disiplinkan anak-anak supaya menghargai dan menepati masa sejak kecil. Mereka perlu dilatih supaya manfaatkan masa dengan bijak dan terancang, supaya mereka cemerlang di dunia dan akhirat.
Manfaatkan Waktu Pagi
Selepas waktu subuh, walaupun hari cuti, jangan biarkan anak-anak menyambung tidur. Rancang aktiviti-aktiviti yang bermanfaat supaya masa terisi. Misalnya bertadarrus al-Qur'an, membaca tazkirah pendek atau kisah-kisah para nabi dan sahabat dan sebagainya. Atau beriadhah ke taman, bergotong royong membersihkan halaman rumah dan sebagainya.
Menetapkan Jadual
Kita boleh menetapkan jadual supaya diikuti oleh anak-anak. Misalnya menetapkan pukul 10.00 malam anak-anak menyelesaikan kerja sekolah atau menelaah buku. Namun begitu, bagi mendapatkan kesan yang lebih baik, ibu atau bapa itu sendiri dapat bersama-sama membantu atau menemani anak-anak memahami pelajaran sekolah. Pada hujung minggu pula, seluruh keluarga boleh bersama-sama melakukan riadhah misalnya berjoging, bermain badminton, berbasikal dan sebagainya. Cara ini akan membiasakan anak-anak memanfaatkan masa untuk kepentingan kesihatan mereka. Biarlah ia sentiasa menjadi rutin hidup apabila dewasa nanti.
Pemberitahuan Awal
Ada antara anak-anak tidak boleh menerima sesuatu arahan yang diberi ibu bapa secara tiba-tiba. Ini menyebabkan hati memberontak dan kerja yang dilakukan bukan dengan hati yang gembira. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah ada agenda sendiri. Oleh itu maklumkan kepada mereka tentang sesuatu yang hendak dibuat itu lebih awal. Misalnya dengan berkata "Esok pukul 9 pagi, ayah nak kamu bantu ayah cuci kereta", atau "Mak mahu kamu tolong cucikan peti ais bersama-sama pukul 10 pagi selasa ini" dan sebagainya. Secara tidak langsung, kita memberi persediaan mental dan jiwa kepada mereka untuk berbuat sesuatu yang mungkin tidak disukai. Namun ini memberi kesan lebih baik kepada si anak apabila menyiapkan kerjanya.
Disiplinkan Masa Bermain
Jelaskan kepada anak-anak, pukul berapa mereka boleh keluar bermain setiap hari. Mereka tidak boleh keluar bermain sesuka hati sekalipun kawan-kawan sudah menunggu dihadapan pagar rumah. Mereka mesti mentaati peraturan rumah demi menjaga keselamatan diri dan mematuhi masa. Jika diberi keizinan keluar rumah pula, pastikan anak-anak mematuhi waktu pulang ke rumah. Secara tidak langsung anak-anak diajar komited dengan masa.
Memakai Jam Tangan
Oleh kerana masa itu amat penting, anak-anak perlu tahu membaca waktu dan memakai jam tangan. Agar dia terbiasa, setiap kali hendak membuat sesuatu, melihat jam dan menimbang apakah mereka wajar membuatnya berbanding dengan masa. Misalnya, sebelum hendak menonton tv, tinggal 20 minit lagi akan masuk waktu zohor. Bermakna ia bukannya masa yang sesuai. Atau jika hendak tidur siang, tidak sesuai ketika hampir masuk waktu asar. Ini bermakna anak-anak perlu sentiasa peka kepada masa.
Keluar Dengan Kawan-Kawan
Sering timbul masalah apabila anak-anak keluar dengan kawan-kawan dan pulang lewat. Masa solat dilanggar, kerja sekolah tidak disiapkan, ponteng kelas mengaji (lebih afdhal jika ibu bapa yang ajarkan) dan sebagainya. Cara yang terbaik, sebelum anak-anak keluar, telefon atau bagitahu ibu atau ayah meminta izin. Sekiranya dibenarkan, nyatakan jam berapa mereka perlu ada di rumah. Sekiranya tidak dipatuhi, denda atau jangan benarkan bergaul dengan kawan-kawannya.
Rancang Dan Tepati Masa
Apabila berurusan di luar, kita mesti disiplinkan anak-anak supaya bersedia lebih awal. Misalnya jika hendak pulang ke kampung, ingatkan supaya mengemas pakaian pada malamnya, bangun pada awal pagi dan mengemas bilik sendiri sebelum bertolak. Si ayah perlu menetapkan masa bertolak secara tepat kepada anak-anak supaya mereka lebih peka. Ada yang kata, "kalau sudah siap, kita bertolak". Kenyataan ini menyebabkana anak-anak merasakan mereka tidak perlu bergegas dalam membuat persiapan. Mereka boleh sambung melepak depan tv dan sebagainya. Jika mereka jenis yang malas atau lambat membuat kerja, persiapan menjadi kelam-kabut akhirnya. Ada barang-barang penting akan tertinggal, terperangkap dalam kesesakan lalulintas dan sebagainya.
Jika anak-anak sedari kecil tidak diakrabkan dengan menepati masa, mereka akan menjadi orang yang tidak peka dengan keadaan. Ini akan menimbulkan masalah apabila dewasa kelak. Bukan hanya menyusahkan diri sendiri, malah menyusahkan orang lain yang berurusan dengannya.
Ada ibu bapa yang tidak membeli jam tangan kepada anak-anak dengan alasan mereka cuai dan tidak pandai menjaga jam tangan. Jika begini tanggapan ibu bapa, bagaimana hendak mengakrabkan anak-anak dengan masa? Biarlah kelihatan seolah-olah rugi, tetapi berbaloi apabila dewasa kelak mereka sentiasa peka dengan masa.